Sumber
3 jenis tapak yang mempunyai hasil AdSense berkualiti
Cuba mempelajari cara mengewangkan tapak anda? 3 jenis tapak ini menunjukkan prestasi baik yang konsisten melalui AdSense.
Adakah anda mahu mengetahui cara mengewangkan tapak web anda menggunakan Google AdSense? Jika ya, petua Google AdSense yang paling asas ialah jenis tapak yang menjana paling banyak wang menggunakan Google AdSense. Jawapan paling mudah ialah tapak yang mempunyai banyak kandungan yang memfokus pada topik tertentu yang mempunyai volum trafik yang tinggi. Tetapi secara lebih khusus, berikut ialah tiga jenis tapak yang patut anda sasarkan untuk dibuat jika ingin memperoleh hasil AdSense.
Tidak kira jenis tapak yang anda buat, pastikan tapak tersebut mematuhi dasar Google AdSense. Khususnya, baca tentang jenis kandungan khusus yang tidak dibenarkan bersama Google AdSense.
1. Tapak blog
Berbanding tapak yang mempunyai beberapa halaman bersama kandungan yang jarang berubah, blog ialah tapak yang anda dan pengguna lain (kandungan yang turut di bawah tanggungjawab anda mengikut syarat dasar AdSense) akan menambahkan kandungan baharu secara tetap. Untuk sesetengah blog, kekerapan siaran boleh berbentuk setiap jam hingga setiap bulan. Perkara ini bergantung pada pelbagai faktor, termasuk bilangan penyumbang dan jumlah masa yang pemilik dan penyunting perlu menyemak serta menerbitkan kandungan.
Blog popular seperti Daily Dot menggunakan Google AdSense untuk mengewangkan pelawat mereka, yang menyumbang kepada lebih kurang lima hingga sepuluh juta tera sebulan, menurut Perancang Paparan Google. Mereka meletakkan sepanduk Google AdSense di pelbagai kawasan di seluruh tapak mereka, termasuk di pengepala, pengaki siaran blog dan di antara penyenaraian siaran teratas dalam setiap kategori.
2. Tapak forum
Jika anda tidak selesa dengan idea menghasilkan kandungan sendiri atau mengurus penyumbang kandungan, jenis tapak terbaik yang seterusnya untuk menjana hasil AdSense ialah forum. Forum ialah tempat yang dikunjungi pengguna untuk membincangkan topik tertentu. Contohnya, catforum.com berikut, yang dikhususkan untuk penggemar kucing di semua tempat dan diwangkan menggunakan Google AdSense.
Forum ini amat aktif dan mempunyai lebih sejuta siaran dan lebih 49,000 ahli. Ahli tapak yang tidak membayar akan melihat iklan Google AdSense apabila mereka datang untuk log masuk dan sepanjang masa mereka berada dalam perbincangan.
Apabila menyentuh tentang forum, anda perlu membuat kandungan terlebih dahulu, tetapi berbanding kandungan blog yang panjang, anda perlu membuat perbincangan dan mencari pengguna untuk mula berinteraksi dengan anda dalam perbincangan tersebut. Lama kelamaan, semakin ramai pengguna akan datang untuk membincangkan topik utama dan pelawat anda akhirnya akan mula mengklik iklan yang berkaitan dengan topik tersebut. Pastikan anda menyemak dasar AdSense khas yang berkaitan dengan kandungan dijana pengguna.
3. Tapak alat dalam talian percuma
Untuk pembangun atau pengguna yang mempunyai belanjawan untuk mengupah pembangun, penghasilan tapak yang mempunyai alat dalam talian percuma ialah satu lagi cara untuk memperoleh hasil AdSense. Alat dalam talian percuma boleh menjadi sangat popular, khususnya jika anda menemui khalayak sasaran yang tepat untuk menggunakan alat tersebut dan meminta mereka mengesyorkan alat tersebut kepada komuniti mereka.
Mari kita lihat GIFmaker.me. Tapak ini mempunyai alat dalam talian percuma yang membolehkan anda membuat GIF, yang menjadi semakin popular pada rangkaian media sosial. Apabila membuat GIF percuma, beberapa iklan Google AdSense akan dipaparkan kepada pelawat tapak di bahagian atas tapak tersebut dan dalam bar sisi.
Jika tapak alat dalam talian percuma anda berupaya mendapat kedudukan #1 untuk kata kunci sasaran anda, maka anda boleh menjadikan pelaburan anda dalam membangunkan alat dalam talian percuma berbaloi melalui hasil AdSense anda.
Tidak kira jenis tapak yang anda gunakan untuk Google AdSense, tiga perkara utama untuk berjaya mengewangkan tapak web anda adalah seperti berikut. Pertama, anda perlu memastikan topik yang anda pilih untuk blog, forum atau alat dalam talian percuma anda adalah sesuatu yang akan diminati oleh pengguna dan dengan itu, sesuatu yang akan mereka cari.
Anda boleh menggunakan alat Perancang Kata Kunci AdWords Google untuk melihat sama ada topik yang anda fikirkan popular dalam kalangan pengguna carian Google. Contohnya, pembuat gif memperoleh purata 110,000 carian bulanan, yang diatributkan kepada lebih sejuta pelawat mereka setiap bulan menurut SimilarWeb. Anda pasti ingin memastikan kata kunci digunakan di tempat yang sesuai di tapak anda, seperti yang diarahkan oleh Garis Panduan Juruweb Google di bawah bahagian yang bertajuk Bantu Google memahami halaman anda.
Kedua, anda perlu menghasilkan sesuatu yang berguna untuk pelawat yang mengunjungi tapak web anda. Asalkan matlamat akhir anda adalah untuk menggalakkan mereka mengklik pada iklan anda untuk menjana hasil. Tetapi jika anda tidak membuat siaran blog yang bermaklumat, memudahkan perbincangan yang menarik atau menyediakan alat yang berharga, maka pengguna akan berhenti mengunjungi tapak web anda dan akhirnya anda akan kehilangan pelawat yang anda perlukan untuk mengklik pada iklan anda.
Ketiga, promosikan blog, forum atau alat anda untuk mendapatkan pelawat yang anda perlukan untuk menghayati kandungan anda, menyertai perbincangan dan menggunakan alat anda. Dengan mempromosikan tapak, anda akan membantu tapak tersebut memperoleh perkongsian media sosial dan pautan balik yang berharga. Pautan balik ini akhirnya akan membantu tapak anda mendapat kedudukan yang baik dalam enjin carian. Anda boleh merujuk semula Garis Panduan Juruweb Google di bawah bahagian yang bertajuk Bantu Google mencari halaman anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara meningkatkan kedudukan tapak web anda dalam enjin carian melalui cara yang betul.