Sumber
Cara mengembangkan trafik laman web anda
Trafik baharu ialah teras sebarang laman web dan dalam artikel ini kita akan meneroka beberapa strategi sifar kos yang boleh anda gunakan untuk mengembangkan jangkauan anda dan menarik lebih ramai pelawat dalam talian.
Sebelum mendalami perkara ini, anda perlu jelas tentang sebab anda memerlukan lebih banyak trafik. Adakah anda ingin mengembangkan komuniti anda? Jual lebih banyak produk? Dorong isu kebajikan sosial? Jika perkara ini melibatkan kebajikan, maka usaha menarik pembeli-belah yang ingin membelanjakan wang dan membeli barangan mungkin tidak sesuai, kerana mereka akan kecewa dan meninggalkan kedai.
Setelah anda jelas tentang matlamat, anda bersedia untuk mula mempromosikan laman anda dan meningkatkan trafik anda.
Lazimnya promosi laman web boleh dipecahkan kepada tiga kategori:
Promosi berbayar berlaku apabila anda membayar untuk mengiklan pada platform atau laman web lain (mis. halaman hasil carian Google jika anda menggunakan Google Ads).
Promosi dimiliki boleh berbentuk senarai pelanggan e-mel yang kadangkala anda menghantar berita atau tawaran kepada mereka.
Promosi diperoleh ialah laman web lain yang dipautkan kepada laman anda – seperti blog atau artikel surat khabar lain yang menyebut anda.
Sesetengah pendekatan tergolong dalam ketiga-tiga kategori. Contohnya, iklan media sosial berbayar yang menggalakkan pengikut anda menyiarkan semula dan menyebarkan berita/usaha kebajikan/produk anda kepada pengguna lain. Ketiga-tiga kategori tersebut bergantung pada kandungan hebat yang menarik pengguna dan membawa mereka kembali berulang kali.
Kunci kepada kandungan yang hebat
Anda boleh menjana kandungan yang menarik melalui beberapa cara yang berbeza. Jika anda penulis blog tentang topik tertentu – seperti makanan – satu pilihan adalah untuk menemu ramah chef tempatan tentang cara memasak hidangan musim cuti kegemaran mereka. Jika anda perancang perkahwinan, anda boleh menghasilkan kandungan unik atau statistik yang boleh dirujuk pengguna – seperti bilangan perkahwinan yang dijangka pada tahun depan, atau trend solekan pengantin baharu. Malah anda juga boleh menjalankan tinjauan pendapat Twitter dan menerbitkan penemuan anda.
Apa-apa sahaja pendekatan anda, tindakan memastikan kandungan anda menarik dari segi visual dan mudah dibaca akan menggalakkan pengguna menikmati serta berkongsi kandungan tersebut. Ingat, setelah anda mengemas kini laman anda dengan kandungan baharu, pastikan anda menambahkan pautan kepada kandungan lama anda – dan sebaliknya, jika berkaitan. Berikut ialah sedikit petua tentang membuat kandungan yang hebat.
Cara meningkatkan trafik
Setelah kandungan anda bersedia, berikut ialah cara menyiarkan kandungan tersebut kepada khalayak yang betul.
1. Media sosial organik
Ini boleh menjadi cara yang sangat berkesan untuk membina khalayak anda dan mendorong trafik. Kuncinya ialah melakukan penyelidikan anda dan mencari platform media sosial yang paling kerap digunakan khalayak anda. Anda boleh melakukan perkara ini dengan meminta pelanggan sedia ada atau komuniti anda, atau dengan melakukan carian Google. Tidak lama lagi anda akan menjadi biasa dengan jenis kandungan yang disukai pengguna dan tempat mereka biasanya melihat kandungan tersebut. Contohnya, jika anda menjalankan blog tenunan, anda mungkin mendapati mereka bergantung pada YouTube untuk mendapatkan petua baharu, atau menikmati penyiaran dan membincangkan ciptaan terkini mereka di Instagram.
Jika anda memutuskan untuk melabur dalam media sosial, pastikan anda mewujudkan jadual penyiaran yang konsisten dan sesuaikan kandungan anda dengan setiap platform. Contohnya, melalui Twitter, anda perlu mengehadkan siaran anda kepada 280 aksara. YouTube Shorts turut mengehadkan video kepada tidak lebih 60 saat. Perkara penting lain adalah dengan menjadikan kandungan anda sangat menarik. Jadi, daripada hanya menyiarkan teks biasa, anda boleh membuat grafik ringkas yang menarik perhatian pengguna semasa mereka menatal dan menggalakkan mereka berkongsi kandungan tersebut.
Sehubungan perkara ini, sentiasa gunakan tag meta media sosial untuk mempengaruhi cara laman anda dipaparkan semasa dikongsi melalui media sosial. Maklumat lanjut terdapat di sini.
Akhir sekali, jangan berasa segan. Jika pengguna membincangkan topik yang anda minati atau mempunyai kepakaran, libatkan diri dan tambahkan pengalaman unik anda sendiri.
2. Senarai e-mel
Sambil laman anda berkembang, anda boleh mempertimbangkan untuk meminta alamat e-mel pengguna untuk terus berhubung. Sebelum bermula, anda perlu menunjukkan kepada pengguna perkara yang akan mereka terima sebagai ganti – sama ada panduan percuma, tawaran istimewa atau cuma ringkasan bulanan dengan berita anda.
Apa-apa sahaja yang anda putuskan untuk tawarkan, sentiasa konsisten dengan gaya dan kekerapan kandungan anda. Jangan lupa untuk menyertakan butang seruan tindak yang jelas dalam e-mel anda yang mendorong pengguna untuk kembali ke laman anda. Satu lagi petua penting: jangan menghantar spam kepada khalayak anda. Penghantaran spam bukan sahaja haram di beberapa negara, perkara ini juga mungkin menyinggung khalayak anda dan menyebabkan mereka ingin menyahlanggan.
3. Pengoptimuman enjin carian (SEO)
SEO ialah alat berguna yang boleh membantu anda dipaparkan lebih tinggi dalam hasil enjin carian dan menjana trafik baharu. Kunci kejayaan anda adalah dengan membuat kandungan yang segar dan menarik – dan tempat yang baik untuk bermula ialah Google Trends. Hanya taipkan bahagian fokus anda (mis. "yoga") untuk melihat cara minat carian dalam topik tersebut berubah dari semasa ke semasa dan frasa serta perkataan berkaitan lain yang dicari pengguna (mis. “yoga nidra” atau “hot yoga”). Anda kemudian boleh menggunakan istilah ini sebagai asas artikel atau blog anda, supaya laman web anda berkemungkinan besar dipaparkan apabila pengguna mencari dalam talian.
Satu petua popular ialah memastikan laman anda disediakan supaya Google dan enjin carian lain boleh merangkak serta mengindeks laman anda. Gunakan panduan pemula SEO atau tonton webinar atas permintaan kami . Jika anda penerbit, kami juga mengesyorkan webinar ini yang melihat pada laman mudah alih, penghalamanan, kandungan pendua dan banyak lagi.
Sambil laman anda menjadi lebih popular, anda juga boleh cuba memperoleh trafik dengan berkembang ke pasaran di luar negara – dan panduan ini menunjukkan cara menyetempatkan kandungan anda kepada khalayak baharu ini.
4. PR Percuma
Satu lagi pendekatan yang boleh anda cuba ialah publisiti percuma. Untuk bermula, anda perlu membuat siaran akhbar. Siaran ini boleh berbentuk apa-apa sahaja yang mungkin diminat khalayak anda, selagi anda menambahkan pandangan atau pengalaman unik anda sendiri. Contohnya, jika anda menjalankan blog memasak dan melancarkan buku masakan musim cuti, anda boleh menyerlahkan bahawa resipi anda vegan atau direka oleh nenek anda.
Setelah anda jelas tentang kisah dan pandangan unik, anda kemudian perlu memutuskan tentang khalayak yang akan berminat mendengar perkara ini. Dalam kes ini, khalayak tersebut mungkin penulis blog makanan, laman memasak atau selebriti vegan di Twitter. Jika anda tidak pasti tentang tempat untuk menghantar siaran akhbar anda, cuba lakukan carian Google pantas untuk mencari perkhidmatan pengedaran siaran akhbar percuma.
Petua popular untuk menghasilkan siaran akhbar yang hebat:
- Tulis tajuk menarik yang menimbulkan minat pembaca/wartawan/penulis blog.
- Fokuskan pada perkara utama. Apakah yang anda tawarkan? Apakah fungsi produk anda? Mengapakah perkara ini penting?
- Cari sudut pandangan atau pembukaan yang menarik bagi cerita anda (mis. “Pada musim cuti ini, 1 dalam 5 warga British akan memasak hidangan vegan untuk keluarga mereka.”)
- Jika boleh, gunakan titik tumpu dan bukannya perenggan yang panjang.
Perkara paling penting dengan kempen PR adalah pastikan anda sabar dan tidak mengharapkan keputusan serta-merta. Anda mungkin memerlukan beberapa percubaan sebelum cerita anda menjadi popular dan anda perlu melaburkan masa untuk menentukan suara utama dalam topik unik anda dan membina perhubungan dengan mereka.
Bersedia untuk memperoleh lebih banyak trafik?
Walaupun sebarang daripada strategi ini boleh membantu, kami mengesyorkan agar anda memilih hanya satu strategi buat masa ini – kemudian menggunakan analitis laman anda untuk menjejaki kesan strategi tersebut. Walaupun sesetengah pendekatan boleh mengambil masa yang lebih lama daripada yang lain, anda akan melihat perkara yang bermanfaat untuk anda tidak lama lagi dan perkara yang paling menarik perhatian khalayak anda. Tidak lama lagi anda akan mengalu-alukan pelawat baharu ke laman anda dan bakal mencapai matlamat anda.