Sumber
Cara menyetempatkan kandungan anda boleh membantu anda menjangkau khalayak baharu
Ketahui bagaimana menyetempatkan kandungan kepada versi diterjemahkan yang sesuai dengan budaya boleh membantu pencipta kandungan mengembangkan khalayak dan jangkauan mereka kepada lebih banyak pasaran.
Sebagai pencipta kandungan, anda pasti tahu bahawa perkara utama dalam pengewangan adalah menjadikan kandungan anda berkaitan dan menarik kepada seramai mungkin khalayak. Satu cara yang amat berkesan ialah dengan menyetempatkan blog anda kepada pasaran atau bahasa lain, supaya anda boleh menggunakan semula kandungan yang sama untuk mendorong trafik tambahan. Dalam artikel ini, kami akan membincangkan perkara yang melibatkan penyetempatan, cara perkara ini boleh membantu anda dan pasaran serta khalayak yang sesuai bagi anda.
Apakah penyetempatan dan mengapakah penyetempatan penting?
Penyetempatan melibatkan terjemahan blog anda atau kandungan lain dalam cara yang sesuai dengan budaya untuk khalayak baharu. Tidak seperti terjemahan lain, penyetempatan mengambil kira ragam basahan atau frasa tempatan lain dan mentafsirkan kandungan dengan maksud yang sama dalam bahasa sasaran. Perkara ini penting kerana walaupun bahasa Inggeris masih bahasa dalam talian yang paling popular, bahasa ini hanya digunakan oleh satu daripada empat pengguna. Dalam erti kata lain, jika anda hanya menerbitkan dalam bahasa Inggeris, anda gagal menjangkau 75% daripada populasi dalam talian dunia.
Mulakan
Sebelum anda mula menyetempatkan kandungan, semak untuk melihat tempat di dunia yang kandungan sedia ada anda dilihat dan bahasa yang digunakan oleh pasaran tersebut. Anda boleh melakukan perkara ini dengan mudah dalam Google Analytics, dengan mencari pengguna mengikut bahasa penyemak imbas mereka.
Walaupun selepas mencari negara baharu untuk disasarkan, anda masih perlu memilih negara yang akan anda setempatkan kandungan. Contohnya, penyetempatan mungkin tidak diperlukan di Holland memandangkan 87% daripada penduduknya bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi di Poland, 95% orang lebih suka kandungan dalam talian dalam bahasa asli mereka.
Gunakan petua popular ini untuk membantu proses penyetempatan anda menjadi selancar yang mungkin.
Elakkan penterjemah automatik
Penterjemah dalam talian sesuai untuk kegunaan harian, tetapi terjemahan daripada alat tersebut mungkin tidak dapat difahami oleh penutur asli. Kandungan anda mungkin akhirnya menjadi sukar difahami, malah menjadi tidak sesuai.
Tanya orang tempatan
Menggunakan khidmat penterjemah tempatan yang berkelayakan untuk melakukan penyetempatan anda akan memastikan terjemahan anda bukan sahaja tepat, tetapi turut sesuai dengan budaya dan boleh diakses oleh orang yang anda ingin jangkau.
Gunakan Pemilih Bahasa Universal (ULS)
Perkara ini memberi pengguna cara yang mudah dan fleksibel untuk mengkonfigurasikan pilihan bahasa mereka semasa menyemak imbas blog anda. Ciri ini juga membolehkan mereka membaca kandungan dalam skrip yang tidak tersedia dengan fon secara setempat, malah menyesuaikan bahasa yang digunakan dalam menu laman web anda.
Ikut amalan terbaik SEO antarabangsa
Oleh sebab laman web anda akan memaparkan kandungan untuk bahasa dan lokasi berlainan tidak lama lagi, pastikan anda mengikut amalan terbaik SEO ini. Contohnya, penggunaan teg hreflang untuk memastikan Google mengetahui versi laman anda yang perlu diterbitkan.
Lakukan secara berperingkat
Elakkan daripada menyetempatkan semua kandungan anda bagi setiap pasaran sekali gus. Sebaliknya, utamakan bakal khalayak terbesar anda dan kandungan paling popular anda, dan teruskan usaha anda dari situ. Penggunaan AdSense juga boleh membantu anda meringankan beban, kerana ciri ini menyiarkan iklan secara automatik dalam bahasa pengguna anda.
Langkah seterusnya
Penyetempatan boleh menjadi cara yang hebat untuk menyesuaikan semula kandungan anda dan berhubung dengan khalayak baharu, menggunakan masa dan usaha yang agak sedikit. Ingat, tindakan tidak mematuhi garis panduan amalan terbaik dan membuat kandungan yang kurang berkualiti lama-kelamaan boleh menjejaskan jenama anda dan pengguna tidak mungkin memberi anda peluang kedua.
Sama ada anda memerlukan nasihat berkenaan ujian dan pelaksanaan penyetempatan atau petua untuk berkembang ke wilayah baharu, anda patut melawat laman web Market Finder. Anda akan menemukan semua panduan dan sumber yang anda perlukan untuk bermula, serta membantu projek baharu anda berjalan lancar.