Sumber
Cara meningkatkan interaksi pengguna laman anda
Sama ada anda pemilik perniagaan atau penulis blog, anda pasti tahu bahawa kunci kepada kejayaan laman web adalah menawarkan kandungan, produk atau perkhidmatan yang baik kepada pengguna, yang tidak akan diperoleh oleh mereka di tempat lain.
Namun terdapat satu lagi faktor kejayaan yang kritikal – iaitu keupayaan laman anda menggalakkan pengguna berinteraksi dengan laman tersebut dan akhirnya berada di laman seberapa lama yang boleh.
Perkara ini dikenali sebagai 'interaksi pengguna'. Metrik ini khususnya penting jika anda menjual iklan berdasarkan volum trafik, kerana lebih lama anda boleh memastikan pengguna berinteraksi dengan kandungan anda (dan iklan anda), semakin banyak hasil yang boleh anda jana.
Dalam artikel ini, kami akan meneroka cara anda boleh mengukur tahap interaksi pengguna laman web anda, cara anda boleh membuat peningkatan dan masalah yang perlu diawasi.
Sebab interaksi pengguna penting dan cara mengukur interaksi tersebut
Melalui cara yang sama restoran mengemas kini menu mereka dari semasa ke semasa untuk mengeluarkan hidangan yang tidak popular dan mengekalkan hidangan laris, anda juga perlu memantau kandungan anda untuk melihat perkara yang menarik perhatian pengguna, perkara yang tidak dilihat dan perkara yang menyebabkan pengguna keluar daripada laman web anda.
Anda boleh mengukur interaksi ini melalui pelbagai cara:
- Kadar lantunan Peratusan pelawat yang meninggalkan laman anda tanpa mengambil sebarang tindakan – seperti mengklik pautan, membeli sesuatu atau mengisi borang.
- Masa di laman Masa ini yang turut dikenali sebagai ‘tempoh sesi’, ialah jumlah masa yang diluangkan oleh seseorang di laman web anda.
- Paparan halaman Menerangkan bilangan halaman yang dimuatkan atau dilihat dalam penyemak imbas.
- Komen atau perkongsian Nilai ini akan memberi anda anggaran kepopularan dan tarikan kandungan anda.
- Peratusan pelawat kembali Nilai ini menerangkan bilangan pengguna yang sudah berada di laman web anda dalam tempoh masa tertentu, kemudian kembali ke laman web tersebut pada peranti yang sama.
Untuk mengukur metrik interaksi pengguna ini (dan yang lain) untuk laman web, anda perlu menyediakan analitis laman terlebih dahulu. Satu pilihan di sini ialah Google Analytics, yang merupakan persediaan ringkas dan berfungsi dengan lancar bersama Google AdSense.
Seterusnya, cara meningkatkan interaksi pengguna
Setelah anda mengetahui interaksi yang perlu diukur dan cara melakukan ukuran tersebut, mari kita teroka beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan tahap interaksi pengguna anda.
- Bermula dengan hipotesis dan ujian Contohnya, jika anda ingin meningkatkan metrik paparan halaman, anda boleh menjalankan ujian yang membolehkan anda menambahkan pautan di hujung artikel anda yang membawa pengguna ke kandungan lain yang mungkin disukai oleh mereka. Kemudian anda boleh menggunakan alat seperti Google Optimize untuk menyediakan Ujian A/B dengan cepat dan melihat kandungan, mesej atau pengalaman lain yang paling banyak menarik (dan menggembirakan) pelanggan.
- Pantau kadar lantunan Jika analitis anda menunjukkan salah satu halaman anda mempunyai banyak trafik tetapi kadar lantunan yang tinggi, siasatan lanjut mungkin diperlukan. Contohnya, anda mungkin perlu mempercepat masa pemuatan halaman anda atau meringkaskan navigasi anda. Adakah anda mempunyai sebarang menu timbul yang menghalang pengguna daripada membaca blog anda? Adakah anda telah mendayakan bunyi secara automatik semasa pengguna tiba di laman anda? Adakah laman anda mudah dibaca pada peranti mudah alih? Isu seperti ini boleh mempengaruhi semua kadar lantunan anda, jadi pastikan anda menyemak setiap satunya, menguji perubahan secara berulang dan mengukur kesan sambil anda menggunakan ciri tersebut.
- Adakah anda penerbit berita? Jika ya, cuba gunakan News Consumer Insights untuk membantu anda membina kesetiaan dan merekodkan data yang lebih baik dan lebih tepat tentang pengguna anda.
Beberapa perkara untuk diperhatikan
Jalankan penandaan aras industri terlebih dahulu
Sebelum mengukur tahap interaksi pengguna laman anda, sentiasa semak tanda aras industri khusus anda. Perkara ini akan memberi anda tanda aras untuk membandingkan prestasi laman anda, membantu anda menjejak kemajuan dan membenderakan masalah yang perlu dibetulkan. Google Analytics ialah tempat yang sesuai untuk bermula, yang membolehkan anda membandingkan kadar lantunan laman anda dan data prestasi lain dengan lebih 1,600 kategori industri yang berlainan.
Jangan salah tafsir kadar lantunan
Kadar lantunan ialah metrik yang berguna, tetapi kita perlu memahami kadar lantunan dalam konteks. Contohnya, jika pengguna hanya melawat satu halaman di laman web anda kemudian beredar, anda mungkin berpendapat kandungan anda tidak cukup menarik. Akan tetapi, pandangan tersebut mungkin tidak betul jika halaman yang dilawati mempunyai kandungan yang panjang dan mereka sebenarnya kekal berada di laman anda selama beberapa minit atau lebih lama. Dalam kes ini, anda mungkin mendapati metrik kedalaman tatal lebih baik dan bermaklumat untuk digunakan.
Berhati-hati dengan metrik masa di halaman
Sama seperti kadar lantunan, masa di halaman juga boleh mengelirukan.
Bayangkan senario ini. Pengguna tiba di halaman utama anda dan alat analitis anda merekodkan masa sebagai (contohnya) 11:05 pagi. Pengguna yang sama ini berada di laman tersebut selama seminit, kemudian mengklik ke halaman lain di laman anda. Sekali lagi, alat analitis anda merekodkan masa sebagai 11:06 pagi. Selepas berada di sini selama lima minit penuh, pengguna kemudiannya keluar terus daripada laman anda – yang menjadikan jumlah masa mereka berada di laman anda ialah enam minit.
Namun begitu, hampir semua alat analitis merekodkan jumlah masa di laman secara salah iaitu hanya satu minit secara keseluruhan. Mengapakah perkara ini berlaku? Perkara ini berlaku kerana alat hanya ‘berkomunikasi’ dengan halaman web anda sendiri dan bukannya halaman di laman web lain. Jadi apabila pengguna keluar ke laman lain, laman web baharu tersebut tidak akan menghantar balik cap masa untuk anda mengira masa yang diluangkan di halaman terakhir. Menurut alat analitis, pengguna tersebut berada di halaman utama anda selama seminit, kemudian meninggalkan laman anda.
Jangan terlebih ukur
Keputusan untuk meningkatkan tahap interaksi pengguna pastinya langkah yang positif, tetapi anda disarankan untuk tidak cuba mengukur terlalu banyak metrik sekali gus. Lebih baik anda mengenal pasti satu metrik yang terbukti mempunyai kesan positif pada hasil anda – sama ada masa di laman, perkongsian, dll – kemudian fokuskan penentuan tanda aras dan buat ujian untuk mendorong keputusan yang anda inginkan.
Untuk mendapatkan lebih banyak sumber bagi meningkatkan pengalaman pengguna, prestasi dan potensi pendapatan laman anda, pergi ke bahagian Sumber.