Sumber

Cara membuat laman web

Imej sumber
Amalan terbaik

Sama ada berkongsi minat anda, mewujudkan komuniti atau mempromosikan perniagaan anda, terdapat banyak sebab anda mungkin memerlukan laman web anda sendiri.

Anda mungkin sedang memikirkan tentang rupa laman anda dan jenis ciri serta kandungan yang ingin anda paparkan.

Sebelum anda mengusahakan laman anda, luangkan masa untuk melihat beberapa langkah utama yang terlibat, cara bermula dan kos yang diperlukan untuk merealisasikan wawasan anda.

Mulakan dengan menetapkan objektif anda

Apakah tujuan utama laman web anda? Jika tujuan utama adalah sebagai blog, laman tersebut akan dipengaruhi dengan ketara oleh jenis reka letak dan navigasi yang anda inginkan. Selain itu, jika anda merancang untuk menggunakan laman tersebut untuk menjual produk atau perkhidmatan, anda memerlukan sesuatu yang selamat lagi ringkas untuk menavigasi dan mudah dikemas kini dengan inventori baharu.

Tetapkan belanjawan dengan cermat

Harga untuk membina laman web bermula daripada sifar hingga beberapa ribu ringgit. Kos ini bergantung pada jenis laman yang anda inginkan dan matlamat anda untuk laman web tersebut.

JIka anda memerlukan laman blog yang ringkas, terdapat banyak alatan percuma dan pilihan yang boleh anda pilih. Kebanyakan alatan adalah ringkas dan intuitif untuk digunakan, jadi anda tidak memerlukan pengalaman reka bentuk atau pengekodan. Perkara yang terbaik ialah, laman anda akan disediakan dan disiarkan dengan pantas malah anda tidak perlu membelanjakan wang untuk pereka bentuk atau pembangun laman web anda sendiri.

Pilih platform laman web yang sesuai

Kebanyakan pengguna tiada masa atau kepakaran untuk membuat laman web mereka sendiri sepenuhnya – dan pembina laman web dapat membantu dalam situasi ini. Semua pengekodan akan dilakukan untuk anda, jadi anda hanya perlu memilih templat, kemudian menyesuaikan templat tersebut dengan teks, imej dan kemasan akhir anda sendiri.

Perkara yang paling sukar tentang penggunaan pembina laman web adalah menentukan pembina laman web untuk digunakan. Terdapat beratus-ratus penyedia, dan sekali pandang mereka nampaknya menawarkan perkhidmatan yang sama atau sangat serupa.

Sebelum memilih alat, tanya diri anda terlebih dahulu:

  • Adakah alat ini mempunyai URL selamat atau pilihan lain untuk menambah URL selamat kemudian?
  • Adakah alat ini dapat digunakan secara intuitif?
  • Bolehkah anda menyesuaikan alat ini mengikut keperluan anda?
  • Berapakah kosnya? Adakah ini pembayaran sekali atau yuran bulanan?
  • Adakah terdapat banyak templat untuk dipilih?
  • Adakah mereka menawarkan sokongan teknikal? Adakah sokongan ini percuma? Adakah sokongan melalui e-mel, telefon atau bot sembang?
  • Adakah mereka menawarkan pemalam atau sambungan, seperti video atau pendaftaran surat berita?

Selain itu, banyak perkara bergantung pada cara anda merancang untuk menggunakan laman anda. Alatan seperti Google Blogger boleh membantu, dan membolehkan anda memilih antara gaya templat atau reka bentuk yang berlainan. Terdapat juga Google Sites, yang boleh menjadi cara yang hebat untuk mempromosikan perniagaan kecil, acara atau mempamerkan portfolio kerja. Panduan cepat ini mempunyai lebih banyak maklumat dan akan membantu anda membuat keputusan yang lebih tepat.

Sediakan nama domain anda

Kebanyakan alat pembina web percuma membolehkan anda membuat blog ringkas tanpa perlu membelanjakan wang untuk nama domain anda sendiri. Jika anda serius ingin menyiarkan blog, atau laman web anda untuk tujuan perniagaan, anda mungkin memerlukan alat yang lebih tersuai dan unik dengan perkara yang anda tawarkan.

Anda juga perlu memikirkan tentang domain tahap atas (TLD) yang perlu dipilih. Contohnya, jika laman web anda memfokuskan wilayah atau negara tertentu, anda boleh memilih .uk, .fr, .de dan sebagainya. Sebaliknya, jika laman anda bersifat global, anda boleh menggunakan alamat .com.

Perkara lain untuk dipertimbangkan apabila memilih TLD:

  • Berwaspada terhadap kos yang meningkat. Sesetengah penyedia menawarkan kadar terdiskaun untuk bermula, kemudian meningkatkan kadar tersebut selepas itu.
  • Pastikan nama domain anda belum mempunyai tanda dagangan. Jika nama anda melanggar hak cipta jenama lain, anda mungkin dipaksa mengubah nama tersebut dan akhirnya terpaksa membayar yuran undang-undang. Maklumat lanjut tentang perkara tersebut di sini.
  • Pastikan maklumat peribadi anda selamat. Apabila anda mendaftar untuk domain, anda perlu memberikan butiran anda kepada ICANN – yang boleh diakses dengan mudah oleh pengirim spam dan penipu. Walaupun anda boleh memilih untuk menjadikan butiran anda peribadi, sesetengah pendaftar akan mengenakan bayaran untuk perkhidmatan ini, jadi pastikan anda semak terlebih dahulu.

Google Domains boleh menjadi tempat yang baik untuk bermula apabila memilih nama domain anda. Platform ini menunjukkan domain yang tersedia dengan cepat, kos domain, malah sebarang kelebihan atau kemungkinan keburukan – contohnya, nama domain sukar disebut atau mudah mengelirukan.

Membuat kandungan anda

Anda telah memilih platform anda, merancang reka bentuk anda dan kini tiba masanya untuk langkah yang menarik: menjadikan kandungan anda menarik kepada khalayak anda. Sekali lagi, mengikut beberapa prinsip asas akan membantu anda menjimatkan masa dan wang, serta menggalakkan pelawat anda kembali dengan kerap.

Cuba petua popular ini.

  • Google Trends ialah cara yang berguna untuk melihat perkara yang dicari pengguna dan cara kepopularan perkataan atau frasa tertentu berubah mengikut masa. Anda juga boleh mengukur minat terhadap kandungan anda dari wilayah berlainan dan mengenal pasti bakal khalayak di seluruh dunia. Jangan lupa, anda boleh menggunakan platform media sosial anda atau kumpulan komuniti dalam talian lain untuk melakukan undian dan mencari topik sohor kini atau semakin popular.
  • Walaupun anda belum mula menjana kandungan, tentukan kekerapan anda merancang untuk menerbitkan kandungan – dan patuhi jadual tersebut. Ingat, kualiti sentiasa mengatasi kuantiti.
  • Perlu diingat bahawa, bukan semua pengguna suka menggunakan kandungan melalui cara yang sama. Sesetengah pengguna menyukai teks sahaja dan yang lain menyukai grafik maklumat atau kemudahan menonton video. Lama kelamaan, anda akan mempelajari perkara yang paling sesuai.
  • Setelah anda mula menerbitkan kandungan, anda perlu mengetahui tempat asal pengguna anda, cara mereka mencari anda dan halaman yang menarik paling banyak perhatian. Satu cara anda boleh melakukan perkara ini adalah dengan menggunakan Google Analytics, yang juga boleh anda pautkan terus kepada blog anda untuk mendapatkan keputusan masa nyata.
  • Panduan ini berkongsi lebih banyak alatan dan petua untuk membuat kandungan bagi pelawat anda, selain kisah kejayaan yang memberikan inspirasi dari seluruh dunia.

Memiliki laman web anda sendiri boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan bermanfaat untuk berhubung dengan khalayak anda serta mencapai matlamat peribadi atau komersial anda. Penggunaan alat dan petua dalam panduan ini akan membantu anda bermula dan mengelakkan kesilapan yang mahal, malah anda juga boleh menggunakan sumber kami untuk meneroka cara mengewangkan kehadiran anda dalam talian dan menambah baik pengalaman pengguna anda.